Saya bermula dari bawah. Saya berasal dari sebuah kampung di daerah Muar di Johor. Masa kecil pernah rasa tinggal di rumah yang menggunakan lampu gasolin sahaja.
Pertama kali keluar rumah pada tingkatan 4 ke sekolah berasrama di Melaka. Di situ bermulanya mengenal cita-cita dan impian. Melanjutkan pelajaran di UKM dalam bidang perkomputeran sehingga ke peringkat sarjana.
Minat berniaga. Ambil diploma luar kampus dalam bidang komputer industri juga diploma dalam bidang bisnes. Masa muda suka membaca buku.
Mulakan kerjaya di sebuah syarikat kereta berjenama negara. Menjadi pensyarah di dua buah kolej swasta dan selepas itu membuka perniagaan sendiri. Ingat lagi syarikatnya diberi nama Techcoms sales & services. Banyak belajar berniaga bermula dari muda.
Pengalaman yang tak mungkin dilupakan. Punya syarikat dan pejabat pertama di Shah Alam. Dapat beberapa projek membuat software dan dibangunkan sendiri. Ketika itu bekerja, dalam masa yang sama berniaga dan menyambung pelajaran di peringkat sarjana.
Umur muda. Baru 23 tahun. Berangan nak nikah. Berkahwin dengan suri hati Zawiyah Saimin. Jual kuih raya dan kerepek raya di Shah Alam. Rezeki nak kahwin agaknya jualan mencecah 75K sehari dua minggu nak raya.
Lepas kahwin janji dengan mak balik kampung. Diterima kerja sebagai seorang pensyarah di universiti. Baru berumur 24 tahun sudah dilantik ketua jabatan. Umur 25 anak satu Irfan Bahar dan Afnan Syamilla berumur 40 hari terbang ke Nottingham menyambung pelajaran di UK. Banyak pengalaman jatuh bangun di negara orang.
2008 pulang semula ke Malaysia dan dilantik menjadi CEO sebuah GLC. Bermulalah tercebur ke dunia korporat dan bermulanya hilang cita-cita menjadi seorang ahli akademik. Enam tahun membangunkan syarikat.
Dari mula balik dari luar negara mula berjinak-jinak dengan perniagaan. Mula buka hotel di Parit Raja. Diberi nama D’ Impian Inn dengan kapasiti 80 bilik, restoran, dewan besar dan pelbagai kemudahan. Diuruskan oleh isteri dan ahli keluarga.
Syarikat berkembang hingga ada hotel di Shah Alam. Saya mulakan pusat latihan hingga tertubuhnya D’ Impian Resort & Training Centre melatih lebih 10k anak muda setiap tahun dalam program motivasi.
Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sekelip mata semua bisnes terhenti dengan kejatuhan ekonomi bermula tahun 2014 dan akhirnya tahun 2016 terpaksa saya tutup semua bisnes yang saya bina bertahan selama 8 tahun.
Bermula dari kosong semula.
Ditawarkan menjadi pegawai khas pejabat Menteri Besar Johor banyak pengalaman yang ditimba di situ. Dengan semangat tak pernah kalah saya bangkit semula sedikit demi sedikit. Bekerja semula dan memberi 100% pengalaman semasa menjadi pegawai kerajaan.
Tahun 2018 saya membuat keputusan berhenti kerja dari kerajaan.
Saya memulakan kerjaya baru saya sebagai petani sampai sekarang. Saya tubuhkan D’ Impian Agro Farm bermula dari kecil hingga kini.
Moganya saya dapat teruskan perjuangan ini. Perjuangan untuk memandaikan bangsa saya sendiri. Berjuang meminta jangan patah semangat untuk terus berusaha untuk berjaya di dunia dan akhirat.
Kini alhamdulillah saya berumur 46 tahun dan mempunyai 9 orang anak.
Sumber: Coach Bahar