Ramai yang ingin berjaya dalam bisnes, tapi tak ramai yang sanggup hadapi cabarannya.
Berjaya dalam bisnes umpama kita berjaya sampai ke puncak gunung. Dari atas kita dapat nikmati keindahan yang tak dapat dirasai di kaki gunung, dari puncak kita dapat lihat alam yang terbentang luas.
Tapi usaha untuk mendaki bukan kerja yang mudah, banyak rintangan dan halangan terpaksa ditempuhi sebelum sampai ke puncak.
Kita bermula secara perlahan dari bawah, kemudian kita melalui kesusahan demi kesusahan ketika mendaki sampai puncak. Langkah demi langkah kita harungi.
Adakalanya jalan yang kita lalui penuh berliku dan berbatu, adakalanya berserabut dengan akar-akar dari perdu pokok.
Jika cuaca kurang baik, hari yang cerah tiba-tiba bertukar hujan, menyebabkan trek yang kita lalui basah dan licin. Jika tak ditapak dengan berhati-hati, kita mungkin tergelincir, jatuh sampai kebawah semula.
Paling bahaya jika terjumpa binatang liar atau berbisa. Kalau sempat menyorok, untunglah. Kalau tak, lari lintang pukang kita dibuatnya.
Bagi yang tak berputus asa, pendakian perlu diteruskan sehingga berjaya. Dari situlah pengalaman kita pelajari, kerana pengalaman itu bukan ketika di puncak tapi pada perjalanan yang ditempuhi.
Hanya mereka yang menikmati keindahan itu saja tahu dan faham susah payah, pahit getir yang dilalui. Hakikatnya bukan gunung yang kita berjaya takluki tapi diri kita sendiri. Berusahalah!
Sumber: Mohd Shukri Mat Nor